KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) terus mengorak langkah seiring tuntutan teknologi, agar pembelajaran alaf baharu lebih relevan dengan kehendak semasa. KPM melalui kerjasama dengan YTL Communications mewujudkan Persekitaran Pembelajaran Maya Frog (VLE Frog) atau dikenali juga sebagai bilik darjah online dan ruang sosial untuk sekolah, semuanya di bawah satu bumbung.
Kaedah ini adalah sistem pembelajaran berasaskan laman sesawang (web) menyerupai pendidikan dunia sebenar dengan menyatukan konsep pendidikan konvensional.
Ibu bapa juga berpeluang berkomunikasi dengan guru-guru, manakala, pentadbir sekolah pula boleh menyusun kalendar sekolah dan memaparkan notis melalui internet.
Ia mula dilancarkan pada Mac 2012, dan masih dilaksanakan secara berperingkat-peringkat.
VLE Frog dibina dengan mengutamakan penggunanya. Sasarannya adalah untuk melahirkan rakyat Malaysia yang berkuasa ke atas pemilikan pendidikan serta bersedia bersaing dalam ekonomi global yang berasaskan pengetahuan.
KPM juga menyatakan VLE Frog mempertingkatkan pengajaran dan pembelajaran kerana menjimatkan masa dan usaha. Ia berfungsi sebagai alat untuk memudahkan guru melaksanakan tugas, seperti merancang pengajaran, menandakan tugasan dan menguruskan kalendar akademik.
Pembelajaran Maya Frog (VLE Frog) perlu diterapkan seawal peringkat sekolah rendah agar murid lebih memahami kepentingan bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM). Proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) melalui Frog VLE akan mendedahkan murid dengan maklumat dan komunikasi (ICT) secara optimum. Perkara ini secara tidak langsung memberi kefahaman kepada murid mengenai kepentingan STEM pada masa kini dan masa hadapan, sekali gus memupuk minat mereka dalam bidang berkenaan.
Untuk mencapai status negara maju, negara ini amat memerlukan lebih ramai khususnya generasi muda untuk membabitkan diri secara aktif dalam bidang STEM. Kaedah PdP yang berinteraktif terutama bagi mata pelajaran Sains dan Matematik mampu menggandakan minat mereka dalam bidang STEM sekali gus membawa pendidikan negara ini ke punck lebih tinggi.
P&P Pengajaran dan Pembelajaran Maya VLE FROG
FAKTA MENARIK BERKENAAN VLE Frog
- VLE Frog boleh diakses di mana jua, pada bila-bila masa menggunakan sambungan internet.
- Bilik Bestari VLE Frog dibina dengan meja dan kerusi khas untuk membantu guru mengamalkan pembelajaran secara kolaboratif menggunakan teknologi.
- Murid akan dibekalkan dengan cromebook atau komputer riba bagi memudahkan tugasan yang diberikan oleh guru secara atas talian.
- Murid bukan sahaja boleh belajar dan membuat tugasan malah menyemak jawapan mereka pada bila-bila masa dengan kemudahan akses internet.
- VLE Frog mengamalkan konsep 5C dalam PdP iaitu pemikiran secara kritikal, komunikasi, kreativiti, kerjasama dan karakter.
- Ia juga menghubungkan para pendidik di seluruh negara bagi membolehkan mereka berkolaborasi serta berkongsi sumber dan idea.
- Oleh kerana perisian Frog berasaskan awan (cloud-based), dan pembelajaran boleh dilaksanakan pada bila-bila masa, pelajar dan murid boleh melakukan penyimpanan awan, beg sekolah yang berat bertukar ringan.
- Sistem Frog yang mudah digunakan membolehkan guru dan pelajar mencari kandungan pendidikan dalam satu laman web tanpa memerlukan kepakaran teknikal.
- Ia membolehkan guru menghasilkan sumber pengajaran yang menarik.
KEKANGAN
Projek 1BestariNet menepati matlamat untuk membantu kanak-kanak memperoleh kemahiran pembelajaran abad ke-21 serta merapatkan jurang digital dan memperbaiki kehidupan rakyat, terutama murid di kawasan luar bandar.
YTL Communication Sdn Bhd (YTLC) telah diberi kepercayaan untuk menjayakan projek ini dalam menyediakan ketersambungan internet 4G ke 10,000 sekolah di negara ini termasuk di kawasan luar bandar untuk mewujudkan pendidikan yang saksama.
YTL benar-benar meyakini kelestarian nilai projek 1BestariNet dalam memberi manfaat penggunaan ICT bermula dari bilik darjah ke seluruh kawasan sekolah di Malaysia dengan pelaksanaan pembinaan stesen tapak yang dikenali menara telekomunikasi Sistem Penerima Bersepadu 1BestariNet (1BRIS) di lokasi strategik dalam kawasan sekolah yang terpilih.
Namun demikian, pelaksanaan ini tertunda seketika kerana kelewatan kelulusan daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Fasa 1 projek 1Bestari YTLC ditugaskan untuk membina menara 1BRIS agar liputan 4G dapat disediakan. Bagaimanapun pihak kami perlu mendapatkan persetujuan semua PBT terlebih dahulu dan mengakibatkan penangguhan berlaku.
Pembayaran sewaan perlu dibuat oleh pihak YTL mengikut penggunaan plot tanah yang digunakan selepas mempertimbangkan perjanjian yang dibuat dengan Kementerian Pendidikan
Sementara itu, YTLC juga secara sukarela menambah kandungan pembelajaran melalui kerjasama dengan penyedia kandungan bagi menyediakan kandungan tambahan yang ditawarkan menerusi Pembelajaran Maya Frog (VLE Frog).
Melalui sambungan internet 4G ke sekolah di seluruh negara membolehkan platform Persekitaran Pembelajaran Maya Frog (VLE Frog) disediakan namun demikian penggunaan VLE Frog bergantung kepada beberapa faktor berbeza mengikut sekolah-sekolah tertentu, termasuk kepantasan menyesuaikan diri kepada teknologi itu.
Seramai 5,000 Guru Muda 1Malaysia (GM1M) daripada 2,500 sekolah di seluruh negara akan diberikan latihan interaktif bagi membolehkan mereka memanafaatkan Persekitaran Pembelajaran Maya (VLE)-Frog sebagai platform pengajaran dan pembelajaran (PdP). Program melalui bengkel dan seminar yang berlangsung selama dua bulan bermula semalam, bertujuan meningkatkan kemahiran guru muda di bawah 40 tahun di seluruh negara untuk memanafaat VLE-Frog.
VLE-Frog adalah satu platform pengajaran dan pembelajaran yang efektif di bawah projek 1Bestari.Net dan bukti komitmen kerajaan ke arah pendidikan berkualiti yang berteraskan teknologi.
Ia juga selaras dengan insiatif Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013 hingga 2015 iaitu penyediaan infrastruktur untuk jaringan dan landasan pembelajaran melalui 1Bestari.Net.
Platform ini juga mampu menyokong pelaksanaan pembangunan profesionalisme berterusan yang dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.
Ia akan menjadi penyelesaian bersepadu yang membolehkan PdP dan aktiviti pengurusan pentadbiran dilaksanakan kerana ia memfokuskan tiga komponen utama iaitu akademik, komunikasi dan pentadbiran.
Cara Asas Menggunakan 1Bestarinet VLE Frog
Bagi memudahkan untuk belajar cara menggunakan sistem ini, disini diberikan video tutorial yang ringkas mengenai cara penggunaan VLE Frog bagi admin dan guru.
VLE Frog Mampu Meningkatkan P&P Pengajaran dan Pembelajaran?
Di bawah projek 1BestariNet, sekolah-sekolah akan dilengkapkan dengan penyelesaian bersepadu yang membolehkan pengajaran, pembelajaran, kolaborasi dan pentadbiran dijalankan melalui VLE Frog, yang boleh diakses di sekolah atau di mana juga, dengan adanya sambungan Internet.
- Guru
Frog adalah ringkas, mudah digunakan dan direka untuk membawa dunia pengajaran ke satu tahap baru. Beri tugasan dan ikuti kerja-kerja dan markah pelajar, hasilkan sumber pengajaran, beri maklum balas kepada pelajar dan gunakan forum untuk menggalakkan pelajar berbincang dan berkongsi pandangan. Rancanglah masa anda dengan lebih baik dengan menggunakan kalendar, yang membolehkan anda melihat, membuat, menyertai atau memasukkan acara.
- Murid
Maksimumkan masa dan mulalah merancang dengan kalendar, buatlah kerja dan ikuti perkembangan markah pada setiap masa, di mana jua, peribadikan laman utama anda, muat naik dan simpan fail-fail di dalam Frog, dan berkomunikasi atau kongsikanlah idea-idea anda dengan rakan sekelas atau guru melalui forum.
- Ibubapa
Ikuti perkembangan acara sekolah, laporan PIBG dan notis sekolah dengan menggunakan kalendar dan papan notis sekolah, temui semua butiran perhubungan yang anda perlukan di halaman Contact School dan muat turun borang kebenaran dan dokumen-dokumen penting lain mengikut keselesaan anda.
Kemampuan Sebenar VLE Frog Secara Teori Cukup Hebat dan Besar
Di Malaysia, pembelajaran maya bagi murid sekolah rendah adalah satu konsep pembelajaran yang baru tetapi di negara lain contohnya seperti di United Kingdom, Ireland, Amerika Syarikat, Hong Kong dan Singapura ia sudah lama bertapak dan diamalkan. Menurut Rheingold, persekitaran pembelajaran maya adalah berasaskan internet yang dibina untuk menghubungkan ahli-ahli komuniti dan membolehkan mereka berbincang dan bekerjasama dalam melakukan tugasan atau projek.
Semua ahli komuniti yang terlibat dalam persekitaran pembelajaran maya perlu ada komputer dan boleh mengakses secara talian dari mana-mana tempat. Ahli komuniti boleh terlibat secara aktif seperti bertukar-tukar pandangan mengenai perkembangan pada masa hadapan, berkongsi pandangan dalam perlaksanaan polisi tertentu atau berbincang tentang perkembangan tugasan mereka.
VLE Frog atau Virtual Learning Environment adalah satu kaedah penyelesaian bersepadu yang membolehkan pengajaran, pembelajaran, kolaborasi dan pengurusan pentadbiran yang boleh diakses di sekolah, atau di mana-mana sahaja melalui capaian Internet. Ia juga boleh dikatakan sebagai School Community Environment disebabkan ibu bapa boleh mengakses apa jua hal-hal berkaitan pendidikan di sekolah.
VLE Frog merupakan satu projek Transformasi sistem pendidikan yang telah dilaksanakan oleh KPM di bawah Projek 1BestariNet mulai tahun 2011. Di dalam projek ini, sekolah-sekolah dilengkapi dengan penyelesaian bersepadu mengenai urusan pentadbiran sekolah, kaedah maya pengajaran dan pembelajaran dan maklumat-maklumat terkini persekolahan murid-murid menerusi capaian Internet.
Persekitaran Pembelajaran Maya ( VLE Frog) bagaikan sebuah bilik darjah online dan ruang sosial di sekolah dan juga sebagai adalah sistem pembelajaran berteras laman web yang menyerupai pendidikan dunia realiti dengan menyatukan konsep maya dalam pendidikan konvensional. Ia mempunyai kalendar, laman sembang atau ruang forum (social network), ruang kerja (shared workspace) dan ruang penilaian (online assessment).
Sebagai contoh, guru-guru boleh mengajar, menjalankan ujian dan menyemak kerja sekolah secara maya manakala pelajar boleh menghantar kerja sekolah dan melihat markah melalui VLE Frog. Ibu bapa boleh berinteraksi dengan guru-guru, dan pihak sekolah boleh mengemas kini kalendar aktiviti sekolah dan memaparkan notis melalui Internet. VLE Frog boleh diakses pada bila-bila masa, di mana saja adanya capaian Internet.
Seterusnya Rheingold menyatakan bahawa dalam persekitaran pembelajaran maya mestilah memberikan peluang yang banyak kepada setiap ahli komuniti, untuk mengakses bahan-bahan perbengkelan dan maklumat yang berkaitan dengan tajuk yang diberikan. Dokumen-dokumen seperti bahan persembahan, artikel dan juga senarai tambahan sumber yang boleh diperolehi secara on-line dari laman-laman web lain harus disertakan.
Pembelajaran maya seharusnya berlaku seperti pembelajaran biasa, di mana berlaku komunikasi dua hala di antara guru dengan murid dan di antara murid dengan murid yang lain. Namun yang membezakan ialah mereka tidak bertemu secara bersemuka tetapi bertemu di ruang maya. Seterusnya, di dalam pembelajaran maya juga ada proses pemantauan dan penilaian.
Pembelajaran seharusnya tidak berlaku hanya sehala sahaja iaitu pengajar memberikan bahan-bahan pengajaran dan pelajar menerima serta meluahkan semula melalui peperiksaan. Pembelajaran maya seharusnya lebih berfokuskan pelajar, di mana pelajar secara aktif menyelesaikan segala permasalahan yang diberikan melalui penerokaan, perbincangan dan berfikir pada tahap tinggi.
Namun adakah semua yang diharapkan dan dirancang berjalan lancar? Adakah semua matlamat dan harapan pelaksanaan VLE Frog ini mampu dicapai?
Cabaran & Kesukaran Memenuhi Matlamat VLE Frog disekolah & Strategi Mengatasinya
Sudah semestinya ada pelbagai cabaran yang wujud dalam setiap pelaksanaan dasar baru atau lama. Ianya berlaku kerana pertembungan antara “perancangan” dan “dunia nyata” dimana semasa merancang mungkin pihak yang membina sesuatu modul itu tidak dapat mengenalpasti dunia nyata yang bakal dihadapi.
Contoh mudahnya ialah di dalam kertas, tempoh untuk murid login dan memasuki dashboard dan seterusnya melakukan aktiviti-aktiviti pembelajaran yang dibina atau disediakan oleh guru adalah sangat tersusun. Namun di dalam dunia nyata iaitu di dalam kelas, banyak isu timbul seperti masalah rangkaian internet lambat atau terputus, murid lupa kata laluan, murid tak ingat langkah-langkah untuk login dan sebagainya. Isu seperti inilah yang mungkin ramai pihak perancang terlepas pandang.
Jadi, bagaimana sebenarnya cara untuk mengatasi atau setidak-tidaknya mengurangkan masalah yang dihadapi ini?
Strategi Meningkatkan Tahap Penggunaan VLE Frog di Sekolah Anda
Perkongsian ini bukanlah untuk memberikan jalan pintas kepada pihak sekolah supaya dashboard VLE Frog mereka menjadi antara tahap penggunaan VLE Frog paling tinggi di daerah atau negeri masing-masing. Tetapi ianya lebih kepada kami ingin membantu pihak sekolah agar lebih kreatif mencari penyelesaian masalah untuk sesuatu dasar dan arahan dari pihak atasan. Jadi apa caranya
1.Menyediakan Latihan Dalam Perkhidmatan Khas VLE Frog
2. Mewajibkan Penggunaan Bilik Komputer dan Akses VLE Frog
3. Buat Sistem Ranking dan Paparkan Kedudukan Semasa
4. Login Sistem VLE Frog melalui Telefon dan Tablet Pemberian KPM